KPWK Sarawak tambah baik sistem penyampaian bantuan ibu bersalin

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak akan terus memantau kelewatan dialami sebahagian penerima Bantuan Ibu Bersalin (BIB) disediakan Kerajaan Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, BIB sebanyak RM450 tunai kepada setiap ibu yang melahirkan anak kelahiran Sarawak itu bagi membantu keperluan ibu semasa tempoh berpantang.

“Kementerian akan terus memantau dan menyelesaikan kes-kes tersebut dengan kadar segera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Majlis Pembangunan Awal Kanak-Kanak Sarawak
(MPAKS) BIL.2/2026 di sini, hari ini.

Fatimah berkata, kementerian itu turut menjelaskan kelewatan dialami oleh sebahagian penerima BIB sebelum ini adalah disebabkan oleh backlog permohonan yang terkumpul sebelum pelaksanaan penambahbaikan sistem dan proses kerja penyampaian perkhidmatan BIB sejak beberapa bulan lalu.

Menurutnya, penambahbaikan ini merangkumi pemerkasaan sistem backend, penstrukturan semula aliran kerja, penyelarasan proses semakan dan kelulusan serta pengoptimuman koordinasi antara pihak terlibat dalam pemprosesan permohonan.

“Bagaimanapun, terdapat sebilangan kecil permohonan yang mungkin masih memerlukan tempoh pemprosesan yang lebih panjang,” katanya.

Jelasnya ini sekiranya melibatkan dokumen yang tidak lengkap, percanggahan maklumat, isu akaun bank atau perkara lain yang memerlukan pengesahan lanjut.

Pemohon yang ingin mendapatkan maklumat mengenai status permohonan atau pembayaran BIB boleh menghubungi Sekretariat BIB melalui WhatsApp di 014-688 1398.