KWKKM timba ilmu di Bandung

BANDUNG (Indonesia): Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat (KWKKM), Dato Sri Fatimah Abdullah mengetuai pegawai kanan dari kementeriannya melawat Bandung dan Jakarta mulai 1 hingga 4 Julai 2024.

Lawatan itu untuk mempelajari pengalaman dan cara terbaik membimbing kanak-kanak autisme daripada Republik Indonesia.

Pengalaman dan pendedahan itu boleh dipelajari dan digunakan dalam penyampaian perkhidmatan untuk kesejahteraan masyarakat negeri ini.

Pengalaman dan pendedahan itu juga boleh dijadikan nilai tambah kepada KWKKM dalam usaha berterusan meningkatkan keterangkuman sosial Indeks Kesejahteraan Masyarakat Sarawak.

Lawatan pertama rombongan dari Sarawak itu ialah di Rumah Bintang Ceria, Bandung. Mereka diberikan taklimat oleh Rita Yuriko dan Rodgers Slahaan yang menubuhkan pusat berkenaan sembilan tahun lalu.

Rita dan Rodgers menubuhkan pusat itu selepas menyedari tentang penting dan perlunya untuk membimbing dan mendidik kanak-kanak autisme
supaya berdikari.

Mereka menggunakan kaedah ‘Applied Behaviour Analysis (ABA)’ untuk persediaan memasuki ke alam persekolahan dan memberi penekanan kepada pembangunan lain seperti cara berhubung, bergaul, kemahiran hidup harian, mengurangkan kemurungan, sifat agresif, mencederakan diri dan kelakuan berulang.

Rita dan Rodgers dalam taklimat mereka berkongsi pengalaman dan ilmu pengetahuan mengenai intervensi awal dengan menggunakan kaedah ABA untuk pembangunan anak autisme mereka, Anjuan Julio Slahaan.

Selepas itu, rombongan Sarawak itu melawat Jabatan Pendidikan Bandaraya Bandung dan diberi taklimat mengenai latar belakang, peranan dan fungsi bandar raya berkenaan oleh Ketua Pembangunan Pendidikan Awal Kanak-kanak Bandung, Abdul Gaos

Jabatan pendidikan itu terkenal dengan pendekatan pendidikan inovatifnya, penglibatan penuh masyarakat dan fokus kepada pembangunan pelajar dan komited untuk meningkatkan sektor pendidikan melalui rakan kongsi inovatif dan inisiatif strategik.

Antara pegawai kanan KWKKM yang menyertai lawatan itu ialah Timbalan Menteri KWKKM, Datuk Rosey Yunus, Setaiusaha Tetap, Datu Felicia Tan, Pengarah Jabatan Kebajikan, Semawi Muhammad, Pengarah Jabatan Wanta dan Keluarga, Salmah Jobeli dan CEO SeDIDIK Sdn Bhd, Ayub Bahari.