MUKAH: Gelaran ‘Raja Sungai’ Regata Mukah 2024 menjadi milik Pasukan Landas Kasihnya Warisan selepas berjaya mendominasi kategori Bidar 30 Pekayuh Lelaki.
Penguasaan pasukan Landas pada edisi kali ini cukup gah apabila turut menguasai kedudukan dua dan tiga kategori utama itu menerusi perahu Landas Satu dan Landas Dua dalam aksi cukup sengit disaksikan oleh ribuan warga Mukah di Tebingan Sungai Mukah petang tadi.
Selaku Raja Sungai, Pasukan Landas Kasihnya Warisan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 beserta piala kemenangan.
Manakala, naib juara dan tempat ketiga masing-masing menerima wang tunai RM10,000 dan RM6,000.
Tempat keempat pula dimenangi oleh Cahaya Kekal Satu dari Cahaya Kekal Team dengan meraih RM4000.
Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia merangkap Ahli Parlimen P.213 Mukah Dato’ Hanifah Hajar Taib menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine dan ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi.
Regata Mukah 2024 yang melabuhkan tirai petang tadi telah berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat.
Kali terakhir acara ikonik itu diadakan adalah pada 2018 dan saingan kali ini mendapat sambutan begitu memberangsangkan.