Majlis Kesyukuran imarahkan sambutan Hari Sarawak 2024

BINTULU: Majlis Kesyukuran mengimarahkan sambutan Hari Sarawak 2024 yang diadakan di Masjid Assyakirin Bahagian Bintulu pada malam ini.

Majlis dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

Ia turut dihadiri Menteri Utiliti dan Telekomunukasi, Dato Sri Julaihi Narawi yang mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta menteri dan timbalan menteri kabinet kerajaan negeri, ketua-ketua agensi dan pemimpin masyarakat.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah Yasin disusuli dengan bacaan doa kesyukuran yang dipimpin oleh Imam Besar Negeri Sarawak, Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.

Menyusul selepas itu ceramah khas yang disampaikan oleh Mufti Negeri Sarawak, Datu Kipli Yassin bertajuk ‘Sinergi Pemimpin Dan Rakyat Ke arah Sarawak Maju Makmur’.

Usai solat Isya secara berjemaah, Tun Dr. Wan Junaidi bersama dif-dif kenamaan lain menikmati Jamuan Makan Malam sebelum bersurai.

Sementara itu, Tun Dr. Wan Junaidi serta isteri dijadual menghadiri Majlis Perhimpunan Hari Sarawak 2024 pada jam 8 malam esok.