Lebih 200 daftar SKAS di Daerah Sebauh

SEBAUH: Pendaftaran program Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) bagi Daerah Sebauh di Balai Raya Sebauh bermula hari ini sehingga esok.

Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Collin Patan telah memantau proses pendaftaran bagi memastikan kelancaran serta memberi sokongan kepada penganjur.

Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Sebauh, Royston Francis berkata, tinjauan awal di Balai Raya Sebauh mendapati proses pendaftaran berjalan lancar walaupun terdapat sedikit cabaran berkaitan tahap kelajuan internet.

Namun, pihaknya telah menghubungi syarikat penyedia perkhidmatan internet, Danawa, bagi memastikan keutamaan diberikan kepada kawasan pendaftaran.

“Setakat ini, kita menerima lebih 200 permohonan sejak pendaftaran dibuka hari ini,” katanya.

Manakala, selepas ini pendaftaran program itu akan diteruskan di Rumah Lichong Along, Sungai Sebutin, Tubau pada 8 hingga 9 Mac ini.