SEDC buka enam Bazar Ramadan

KUCHING: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) membuka enam Bazar Ramadan mulai 27 Februari hingga 25 Mac ini.

Perasmian pembukaan bazar itu Pengurus Besar SEDC, Datu Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir di Tingkat 1, Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuching di sini.

Lima lagi Bazar Ramadan itu ialah di UTC Sibu, Menara SEDC Kuching, Medan Niaga Sri Aman, Medan Niaga BGS (Boyan) dan Medan Niaga BGS (Gersik).

Bazar itu memberi peluang kepada peniaga kecil dan sederhana yang berhadapan dengan cabaran apabila menyertai Bazar Ramadan yang lain disebabkan sumber terhad.

Melalui inisiatif itu, SEDC berharap dapat membantu pengusaha berniaga dalam suasana yang tenang dan menimba pengalaman lebih luas dalam menjana pendapatan tambahan.

Pengunjung ke Bazar Ramadan diusahakan oleh SEDC itu akan mendapati lebih selesa untuk membeli juadah berbuka puasa sambil menikmati makanan tempatan.

Bazar Ramadan itu bukan sekadar menjadi ruang niaga tetapi juga wadah untuk memperkukuh komuniti, merancakkan ekonomi tempatan, dan membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Sarawak untuk menikmati pelbagai juadah berbuka puasa yang enak dan berkualiti.

SEDC mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk memeriahkan Bazar Ramadan SEDC 2025, bukan sahaja untuk menikmati hidangan berbuka puasa tetapi juga untuk menyokong perniagaan tempatan dan menjadi sebahagian daripada ekosistem keusahawanan yang lebih mampan di Sarawak.