KUCHING: Syarikat pengeluar pesawat dari China, Commercial Aircraft Corporation of China Ltd. (COMAC) sedang meneroka peluang untuk menjalinkan kerjasama dengan Sarawak.
Perkara ini diutarakan semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Premier Sarawak, merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Wisma Sumber Alam hari ini.
Delegasi COMAC yang diketuai Ketua Pegawai Kewangan, Yu Xihai memperkenalkan produk pesawat keluarannya serta membincangkan potensi kolaborasi dengan Sarawak semasa kunjungan hormat itu.
Perbincangan itu sejajar dengan usaha Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh sektor penerbangan dan industri berkaitan, lebih-lebih dengan penubuhan syarikat penerbangan AirBorneo.
Turut hadir ialah Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching Xing Wei Ping, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Malcolm Mussen Lamoh, Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) Dzulkornain Masron serta pegawai kanan dari Kementerian Pengangkutan Sarawak.
