SIMANGGANG: Lebih 200 sekolah daif di Sarawak telah dibaikpulih oleh Kerajaan Negeri termasuk membina tujuh sekolah baharu bagi memberikan kemudahan pendidikan selesa kepada rakyatnya.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, proses membaik pulih sekolah daif bukan perkara mudah terutama melibatkan kawasan-kawasan jauh dari pusat bandar dan mempunyai kesukaran dari aspek logistik.
“Disebabkan itu, menerusi pendekatan baharu mengatasi isu sekolah daif, Kerajaan Sarawak akan mendahulukan dananya untuk membina sekolah daif sebelum ia kemudiannya dibiayai Kerajaan Persekutuan.
“Kaedah ini membantu Sarawak mempercepatkan proses membaik pulih dan menaik taraf sekolah daif seterusnya membolehkan pelajar menjalani sesi persekolahan mereka dalam keadaan yang lebih kondusif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis berambeh ‘Gong Xi Raya’ 2024 bertempat di Tebingan Sungai Batang Lupar, di sini malam tadi.
Kata Dr Annuar, laluan perhubungan jalan raya yang baik di Sarawak akan membantu memudahkan masyarakat menjalankan kegiatan ekonomi secara meluas melibatkan daerah yang berbeza.
Katanya, dengan jarak dan masa perjalanan yang semakin singkat, ia akan memudahkan peniaga untuk membawa produk untuk dijual ke kawasan lain.
