KUCHING: Usul penubuhan pejabat pengurusan bersepadu (IMO) bagi menggabungkan pihak berkuasa bekalan air tidak akan dibentangkan pada Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan datang.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, usul itu sedang diusahakan dan sebarang butiran akan dibentangkan kemudian.
“Buat masa ini, ia hanya menjadi pejabat kecil dengan dua hingga tiga individu untuk mengendalikan kertas kerja membabitkan rangka kerja perundangan termasuk pemilihan ahli lembaga pengarah.
“Pejabat itu boleh di mana-mana dan ia boleh diletakkan dalam kementerian saya, sehingga kita mempunyai entiti sebenar nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran bersama MUT di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Sebelum ini, Julaihi telah mengumumkan bahawa
IMO akan diwujudkan tidak lama lagi dan mula beroperasi tahun ini.
“Dan sebagai permulaan kementeriannya menyasar untuk menyatukan tiga operator bekalan air di Sarawak iaitu Lembaga Air Kuching (LAK), Lembaga Air Sibu (SWB) dan LAKU Management Sdn Bhd yang akan diletakkan di bawah IMO.
“Kita akan menggabungkan semua operator bekalan air di Sarawak di bawah satu entiti iaitu Pejabat Pengurusan Bersepadu (IMO) untuk menjalankan proses penyatuan.
“Perkara ini belum kita maklumkan (kepada umum) sebenarnya. Kita sudah mengenal pasti siapa yang akan mengetuai IMO untuk melakukan proses penyatuan semua operator bekalan air di Sarawak,” katanya.
