DARO: Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan berjumlah RM350,000 bagi membina sebuah dewan serbaguna baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pangtray di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, peruntukan itu disalurkan melalui Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
“Dewan itu bakal dimanfaatkan untuk pelbagai program dan aktiviti seperti perhimpunan; majlis rasmi sekolah; pembelajaran; pertandingan sukan; kokurikulum dan sebagainya.
“Insha-Allah mulai tahun depan, kita juga berpeluang mengadakan aktiviti kemasyarakatan di dewan yang baharu,” katanya pada Majlis Berlanggar Meja Ramah Tamah Aidilfitri di Kampung Pangtray di sini, hari ini.
Pada majlis sama, Safiee mengumumkan sumbangan peruntukan RM6,000 kepada PIBG SK Kampung Pangtray.
Hadir sama Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, Guru Besar SK Kampung Pangtray, Buang Maharof dan Penghulu Jebli Ngok.
