Draf MoU salur peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang sedang dirangka

KOTA SAMARAHAN: Draf Memorandum Persefahaman (MoU) penyaluran peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang sedang dirangka.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, draf itu akan diagih kepada pembangkang untuk mereka menilai inti pati draf berkenaan dipersetujui atau dipinda setelah siap kelak.

“Kita perlu melakukan proses mendraf dengan teliti sebelum draf MoU itu diagihkan kepada pembangkang.

“Selepas draf itu siap dan dipersetujui oleh Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan, ia akan diagihkan kepada pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan Datuk Hamzah Brahim di Pusat Khidmat DUN N17 Stakan, di sini, hari ini.

Pada Khamis, Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mempertimbang penyaluran peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang di negara ini.

Fadillah dipetik oleh media sebagai berkata, pemimpin-pemimpin dari blok Perikatan Nasional (PN) sudah berjumpa dengannya di Parlimen 19 Mac lalu.

Dalam pertemuan itu, beliau berkata, pemimpin pembangkang menyerahkan kepada kerajaan untuk sebarang syarat bagi menyalurkan peruntukan.