SIBU: Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat mencadangkan supaya Kerajaan Sarawak mempertimbangkan memberikan dana bagi mewujudkan televisyen pintar di setiap sekolah di negeri ini.
Timbalan Menteri Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, ini bagi memudahkan guru mengajar
kerana merupakan satu keperluan.
“Sekolah-sekolah agama kita telah memulai programnya seterusnya kita akan ke sekolah kebangsaan. Dan jika kita dapat dana, kita hendak memastikan setiap sekolah di Sarawak mempunyai televisyen pintar untuk guru-guru mengajar,” katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Ali, di sini malam tadi.
Terdahulu, Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka menyempurnakan simbolik penyerahan televisyen pintar kepada SK Abang Ali.
Beliau memberitahu, sebanyak 36 televisyen pintar disumbangkan kepada sembilan buah sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka.
“Sebanyak 18 televisyen pintar telah diserahkan pada tahun lalu dan 18 lagi akan diserahkan pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah untuk mencari dana bagi merealisasikan usaha itu.
