Wujudkan lebih banyak PAWE di Sarawak

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggalakkan warga Sarawak menubuhkan lebih banyak Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di negeri ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, sebanyak 13 PAWE sudah ditubuhkan di negeri ini setakat ini.

Ia bertujuan memberi kemudahan dan peluang kepada warga emas berkumpul untuk mengadakan aktiviti.

“Dengan bilangan 13 (PAWE), saya rasa tidak memadai untuk sebuah negeri seperti Sarawak yang besar, jadi kita ambil peluang ini mengalakkan agar komuniti untuk menubuhkan PAWE,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Ramah Mesra Menteri KPWKM Bersama Kumpulan Sasar KPWKM di Wisma Sabati, Jalan Diplomatik, di sini, hari ini.

Nancy berkata, PAWE ditubuhkan oleh masyarakat komuniti setempat dan sebuah kawasan Parlimen boleh menubuhkan lebih dari satu PAWE.

“Aktivitinya berbeza, mungkin lebih kepada aktiviti agama, sosial, sukan atau rekreasi. Ada juga lebih kepada wanita dengan penglibatan mereka kepada ekonomi seperti makanan beku,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga memberikan bantuan tidak melebihi RM100,000 setahun kepada PAWE sekiranya mereka memohon.