KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyediakan pelbagai bantuan bagi membantu mereka yang memerlukan terutama yang diuji dengan musibah.
Menterinya Dato Sri Nancy Shukri berkata, di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terdapat bantuan untuk membantu mangsa yang diserang binatang buas.
“Kita telah sediakan bantuan secara ‘ad-hoc’ sahaja untuk mereka membeli makanan dan minuman.
“Tetapi kalau sudah dijumpai nanti bantuan lain untuk mangsa yang diserang binatang buas, memang ada di bawah Jabatan Kebajikan,,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau kawasan Mencari dan Menyelamat (SAR) warga emas yang hilang dipercayai akibat dibaham buaya di Sungai Rayu Lundu, hari ini.
Sementara itu, Nancy berkata Kerajaan Perpaduan kini sedang mempertimbangkan perancangan untuk memberi peruntukan kepada pihak pembangkang.
Katanya, hal itu sudah lama dibincangkan bersama, tinggal mekanisme pelaksanaannya kerana pihak pembangkang telah diminta untuk berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri II Dato Sri Fadillah Yusof.
