KUCHING: Masyarakat khususnya remaja di luar sana dinasihat berani bersuara menentang gangguan seksual demi mempertahankan maruah dan keselamatan diri.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri menegaskan setiap masyarakat berhak untuk bertindak demi keselamatan dan maruah diri.
Beliau komited untuk memperkasa keadilan melalui pelaksanaan penuh Tribunal di bawah Akta Gangguan Seksual.
“Saya juga mengajak semua — wanita, lelaki, ibu bapa, pendidik dan rakan sekerja bersama-sama membina persekitaran yang lebih selamat dan bermaruah, dengan berani bersuara apabila berdepan atau menyaksikan sebarang bentuk gangguan seksual, khususnya dalam usaha melindungi kanak-kanak dan wanita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media di laman Facebook rasminya hari ini bagi mengulas insiden gangguan seksual melibatkan seorang pemandu e-hailing dan remaja perempuan berusia 15 tahun berlaku di Sarawak yang tular di media sosial.
Video yang tular sejak semalam itu menunjukkan pemandu terbabit meminta mangsa membuka tudung semasa dalam perjalanan pulang ke rumah.
Menurut Nancy, kes tersebut kini di bawah siasatan polis.
Jelas beliau, tindakan tegas bapa mangsa yang menggesa lelaki terbabit ke balai polis untuk membuat laporan mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap isu gangguan seksual yang tidak boleh dipandang ringan.
Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat meletakkan sepenuh kepercayaan kepada polis untuk bertindak dengan adil dan segera.
