SMD meterai kerjasama strategik dengan CSA Catapult, UK

CARDIFF: Usaha Sarawak untuk muncul sebagai kuasa besar teknologi cip pintar di rantau ini semakin menjadi kenyataan apabila SMD Semiconductor Sdn Bhd (SMD) memeterai kerjasama strategik dengan syarikat teknologi dari United Kingdom (UK), CSA Catapult.

Majlis menandatangani perjanjian itu yang turut disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg
di Cardiff, UK, hari ini.

Menerusi kolaborasi itu, SMD akan bekerjasama rapat dengan ekosistem semikonduktor UK termasuk Silicon Catalyst UK dan 53Gi (Weeteq), dalam pembangunan teknologi cip pintar berasaskan Gallium Nitride (GaN) dan kecerdasan buatan (AI).

Pengerusi SMD, Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar berkata, teknologi yang dibangunkan bukan sekadar pintar tetapi turut mesra alam dan menjurus kepada kegunaan dalam tenaga boleh diperbaharui, automotif dan angkasa.

“Antara fokus utama ialah pembangunan Edge AI Power Converter dan teknologi pembungkusan cip 2.5D serta 3D yang lebih kecil, lebih sejuk dan berkuasa — sesuai untuk grid pintar dan mobiliti elektrik,” katanya.

Tambahnya, kerjasama itu akan mewujudkan ekosistem R&D dan pembuatan antara Sarawak dan UK, sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab semikonduktor ASEAN.

“Kita bukan hanya terima teknologi, tetapi cipta inovasi bersama. Sinergi ini dijangka menarik pelaburan asing, cipta ribuan pekerjaan bernilai tinggi dan bantu kita bersaing di peringkat global,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CSA Catapult, Raj Gawera memuji komitmen SMD yang pantas bertindak selepas termeterainya MoU sebelum ini.

“Kejayaan dalam industri ini bukan sekadar hasilkan teknologi, tapi keupayaan untuk gerakkan ke pasaran dengan cepat,” katanya.

Bagi Penasihat Saintifik Utama Jabatan Perniagaan dan Perdagangan UK, Profesor Julia Sutcliffe pula, kerjasama ini dilihat tepat pada masanya dan sejajar dengan pelan strategik industri digital UK.

Katanya, projek seperti Edge AI Power Converter berpotensi menembusi pasaran Eropah, Asia Tenggara dan Amerika Syarikat.

“Ini bukan saja bantu Sarawak jadi peneraju cip pintar, tapi juga bawa penyelesaian tenaga bersih ke peringkat global,” ujarnya.