14 peserta Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Lundu

LUNDU: Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Datu, Azizul Annuar Adenan mengajak rakyat melakukan sesuatu perkara hendaklah dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

Beliau berkata, malah, perkara yang dilakukan itu harus seimbang antara pembangunan fizikal dan rohani dengan Al-Quran dijadikan panduan dalam segala aspek kehidupan.

Azizul berkata demikan ketika merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Lundu di Masjid Pehin Sri Adenan di sini, malam tadi.

Jadikan majlis tilawah Al-Quran ini sebagai pemangkin untuk ke pertandingan yang lebih tinggi iaitu sebagai wakil Sarawak atau Malaysia, katanya.

Menurut beliau, majlis tilawah itu juga sebagai tempat untuk mencungkil bakat baharu seperti anak-anak dari kampung dan jika dibimbing sebaiknya mereka berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Seramai lapan qari dan enam qariah dari daerah Lundu memperdengarkan bacaan masing-masing pada Tilawah Al-Quran itu.

Hadir sama, Pegawai Daerah Lundu, Awang Yusup Awang Mostapha, Pegawai Agama Islam Bahagian Kuching, Ustaz Helmi Nahrawi, Ketua Polis Dserah Lundu, Supt. Sudirman Kram dan Pemanca Jumahdi Sabian.