KUCHING: Golongan pekerja disifatkan sebagai “kesuma bangsa” dan tulang belakang utama yang menggerakkan jentera pembangunan serta kemajuan Sarawak dan negara.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, setiap titik peluh pekerja – sama ada di bandar mahupun pedalaman – adalah pemacu utama kepada kemakmuran negeri.
Dalam perutusannya sempena sambutan Hari Pekerja 2025, beliau dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, merakamkan ucapan Selamat Hari Pekerja kepada seluruh warga kerja di Sarawak.
“Tahun ini, tema ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ amat bertepatan sebagai pengiktirafan kepada peranan pekerja sebagai aset negara yang bernilai.
“Tema ini juga selari dengan penjenamaan semula Kementerian Sumber Manusia kepada KESUMA, yang menekankan nilai kemanusiaan, kesejahteraan dan keharmonian dalam dunia pekerjaan,” katanya.
Menurut beliau, sektor pekerjaan di Sarawak yang merangkumi industri minyak dan gas, pertanian, pelancongan serta ekonomi digital menjadi bukti pentingnya peranan pekerja dalam memastikan pembangunan negeri terus rancak.
Katanya, suasana kerja yang kondusif dan saling menghormati antara majikan dan pekerja adalah asas kepada produktiviti berterusan dan kesejahteraan bersama.
“Kerjasama erat antara kesatuan sekerja dan majikan perlu terus diperkukuh agar kebajikan pekerja terpelihara dan hubungan industri kekal harmoni,” ujarnya.
Tun Dr Wan Junaidi turut menyarankan agar sambutan Hari Pekerja dijadikan titik muhasabah dalam menilai dasar dan amalan pekerjaan, agar lebih adil, inklusif dan relevan dengan keperluan semasa.
“Kerajaan Negeri sentiasa komited memperluas latihan kemahiran, memperkukuh perlindungan sosial dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada semua rakyat,” katanya.
Beliau berkata, sejarah Hari Pekerja yang bermula daripada perjuangan gerakan buruh sejak Revolusi Industri di Barat perlu dijadikan peringatan kepada pentingnya hak dan kesejahteraan pekerja, termasuk penetapan waktu kerja lapan jam sehari.
Beliau turut menggesa semua pihak terus berganding bahu membentuk persekitaran kerja yang sihat, selamat dan bebas daripada sebarang bentuk penindasan.
“Sambutan ini harus memperkukuh tekad kita untuk menjadikan Sarawak sebagai tempat kerja yang adil, progresif dan sejahtera untuk semua,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap semangat perpaduan dan penghargaan kepada tenaga kerja terus menyala dalam usaha menjayakan Visi Sarawak Maju Makmur 2030.
