SIMANGGANG: Tanggungjawab melindungi anak-anak merupakan tugas bersama seluruh masyarakat selain ibu bapa itu sendiri.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, usaha berterusan kementeriannya untuk memperkasa perlindungan kanak-kanak di Malaysia, khususnya di Sarawak.
Menurut beliau, dari Januari hingga Jun 2025, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan 685 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak
di Sarawak, dengan 40 kes direkod di daerah Sri Aman.
“Angka ini bukan sekadar statistik, ia mewakili kisah dan trauma sebenar yang dialami oleh anak-anak. Ia menuntut tindakan segera dan kolektif,” tegasnya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak : Kasih Kanak-kanak Pusat Aktiviti Kanak-kanak Sri Aman Tahun 2025 bertempat di Dewan Al-Ghazali Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Sri Aman, hari ini.
Nancy berkata sebagai salah satu inisiatif proaktif, Program KASIH Kanak-Kanak diwujudkan sejak 2024.
Sehingga kini, program itu menjangkau 337 sekolah dan melibatkan 128,148 peserta di seluruh negara.
Bagi Sarawak, sebanyak 25 sekolah dengan 5,589 peserta menyertai program ini.
Pada tahun ini, program tersebut diperluaskan ke Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) termasuk di Daerah Sri Aman, sebagai usaha memperkukuh rangkaian perlindungan dan pendidikan kanak-kanak di peringkat akar umbi.
Beliau menggesa kanak-kanak agar tidak berdiam diri jika merasa tidak selamat, sebaliknya segera memaklumkan kepada individu yang dipercayai seperti ibu bapa, guru atau menghubungi Talian Kasih 15999.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor.
