KUCHING: Perkhidmatan telekomunikasi di luar bandar negeri ini diperluaskan melalui projek Telekomunikasi Luar Bandar (SMART) oleh Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).
Bagi merealisasikan projek itu, perjanjian SMART 600 Multi Operator Core Network (MOCN) ditandatangani pada hari ini. Majlis disaksikan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Majlis menandatangani perjanjian itu diadakan di antara Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) dengan CelcomDigi Bhd (CelcomDigi), Maxis Broadband Sdn Bhd (Maxis), U Mobile Sdn Bhd ( U Mobile) dan YTL Communication Sdn Bhd. (YTL).
Perjanjian itu sebagai tanda rakan strategik di antara sektor swasta yang bertujuan meningkatkan kesalinghubungan dan memperluaskan perkhidmatan telekomunikasi di luar bandar melalui projek SMART.
Walaupun perkhidmatan telekomunikasi itu adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, namun Kerajaan Sarawak melaksanakan program intervensi di bawah inisiatif Sarawak Lingking Urban, Rural dan Nation (SALURAN) termasuk projek SMART dengan peruntukan awal RM1.98 bilion.
Peruntukan terbabit kini meningkat kepada RM2.25 bilion dan inisiatif itu bagi menyokong program penyediaan khidmat universal Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia yang memberi tumpuan kepada mempercepatkan liputan bagi masyarakat luar bandar.
Bercakap kepada media, Julaihi yang mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, daripada 512 menara yang siap, 308 sudah beroperasi sepenuhnya.
“Ini adalah satu pencapaian yang membanggakan selepas berbincang banyak kali dengan syarikat-syarikat telekomunikasi,” katanya dan menambah, keseluruhannya kerajaan merancang membina 600 menara di negeri ini.
“Kita berharap dapat menggunakan teknologi terkini dalam menyedia liputan internet kepada penduduk luar bandar tanpa menggunakan kabel fiber optik,” tegas beliau.
