SADA luluskan dua projek

SIMANGGANG: Jawatankuasa Pemandu Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) meluluskan dua dari 17 projek dicadangkan bagi kawasan Sri Aman.

Pengerusi SADA, Dato Sri Rohani Abdul Karim berkata, 17 projek itu merangkumi infrastruktur jalan dan jambatan, pengairan dan saliran, infrastruktur pelancongan, projek pertanian dan fasiliti sukan yang telah dibentangkan agensi pelaksana masing-masing.

“Dua daripada 17 cadangan projek membabitkan kos RM20.5 juta diluluskan SADA itu ialah cadangan Kampung Menuang Ulu Community Farm Plot (RM 500,000) dan cadangan pembinaan Lingga Sports Complex (RM 20 juta),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu SADA kali ke-2 di Wisma SADA, di sini, hari ini.

Rohani berkata, sebanyak lima projek di bawah SADA telah siap pelaksanaannya setakat Mei 2024.

Projek itu ialah Kampus Sementara Pusat Pembanqunan Kemahiran Sarawak (Sarawak Skills) Cawangan Sri Aman, tebatan banjir di kawasan Kejamut (pakej B, C dan D) dan Orang Utan Observatory Hut di Kompleks Eko-Pelancongan Batang Ai.