Mahkamah Bumiputera distruktur semula

KUCHING: Sarawak bakal menyaksikan perubahan besar dalam sistem perundangan adatnya apabila Mahkamah Bumiputera distruktur semula secara menyeluruh, termasuk pelantikan majistret dan hakim bertauliah untuk mengendalikan kes.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat berkata, langkah ini adalah antara komponen utama yang digariskan dalam Pelan Induk Transformasi Mahkamah Bumiputera Sarawak, yang telah diluluskan secara prinsip oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Julai 2023.

“Penstrukturan semula ini akan meletakkan Mahkamah Bumiputera pada tahap yang lebih teratur dan profesional, seiring dengan Mahkamah Sivil dan Syariah,” katanya semasa menjawab soalan ADUN GPS-PBB Bukit Semuja, John Ilus pada sidang DUN Sarawak Ke-19, hari ini.

Bagi merealisasikan penstrukturan semula tersebut, satu Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Bumiputera Sarawak akan dibentangkan pada persidangan DUN yang akan datang. RUU ini akan menggantikan Ordinan Mahkamah Bumiputera 1992 yang sedia ada.

Mahkamah baharu kelak katanya, akan beroperasi melalui empat peringkat – Mahkamah Bumiputera Majistret, Mahkamah Tinggi Bumiputera, Mahkamah Bumiputera Rayuan dan Mahkamah Bumiputera Agung.

“Secara struktur, hierarki ini akan dibahagikan kepada dua peringkat utama: Mahkamah Rendah Bumiputera dan Mahkamah Tinggi Bumiputera.

“Dari sudut pentadbiran, sistem baharu ini akan mempunyai Ibu Pejabat di Kuching serta tiga Pusat Wilayah yang berpusat di Kota Samarahan, Sibu dan Miri.

“RUU ini dijangka menjadi asas penting dalam memperkukuh kedudukan Mahkamah Bumiputera sebagai institusi kehakiman adat yang lebih moden, efisien dan diiktiraf dalam sistem perundangan negeri,” katanya.