KUCHING: Langkah proaktif Kerajaan Sarawak dalam menyediakan pendidikan tinggi secara percuma kepada anak-anak negeri ini disifatkan sebagai usaha strategik.
Ia bagi melahirkan tenaga kerja mahir tanpa membebani graduan dengan hutang selepas tamat pengajian.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dr Annuar Rapaee berkata, dasar ini bukan sahaja membuka akses pendidikan kepada golongan kurang berkemampuan, malah mampu mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Melalui skim ini, pelajar tidak perlu lagi bergantung sepenuhnya kepada PTPTN yang selama ini menjadi jalan utama pembiayaan pendidikan,” katanya menjawab soalan ADUN GPS-PBB Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman pada sidang DUN Sarawak di sini, hari ini.
Menurut Dr Annuar yang juga ADUN Nangka, skim tersebut dirangka selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menyasarkan 30 peratus tenaga kerja mahir menjelang 2030, khususnya dalam bidang yang menjadi keutamaan seperti ekonomi digital, hijau, aeroangkasa dan tenaga boleh diperbaharui.
Tambah beliau, hanya kursus yang relevan dengan keperluan semasa negeri akan ditawarkan secara percuma bagi memastikan graduan mempunyai peluang pekerjaan yang setara dengan kemahiran mereka.
“Kita tidak mahu melahirkan graduan dalam bidang yang tidak diperlukan pasaran kerana akhirnya mereka akan menganggur,” katanya lagi.
Dengan pendekatan bersasar ini, Sarawak bukan sahaja dapat membina modal insan berkualiti, malah secara tidak langsung mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dalam sektor kritikal.
