KUCHING: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyediakan geran permulaan perniagaan sehingga RM15,000 untuk belia bumiputera tempatan tahun ini.
Menurut kenyataan media SME Corp. Malaysia, geran itu untuk menggalakkan belia menceburi bidang keusahawanan disediakan menerusi pihaknya dan melalui Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) 11.
Majlis Peluncuran Program TUBE 11 Peringkat Wilayah Sarawak dan penyampaian Surat Tawaran Program TUBE 11 2025 Wilayah Sarawak kepada wakil peserta dirasmikan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, di sini, semalam.
Program itu disasarkan melatih seramai 61 peserta dalam kalangan belia Bumiputera Sarawak bermula 21 Mei hingga 28 Mei ini.
Sejak diperkenal 2014, program tersebut menyalurkan geran perniagaan berjumlah RM12.65 juta dan melatih seramai 879 belia dari Sarawak.
Sementara itu, Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) berkata, hasil kajian bagi Program TUBE Tahun 2023 mendapati 3.5 peratus peserta (TUBERs) telah mengeksport produk mereka ke Singapura, Indonesia dan Amerika Syarikat.
“Manakala, 61 peratus dari mereka yang belum mengeksport produk ke luar negara telah menyatakan minat untuk menembusi pasaran antarabangsa,” tambahnya.
