KUCHING: Anjung Usahawan Balingian dirancang dibina bagi kemudahan usahawan di kawasan tersebut.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat berkata, pihaknya dimaklumkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) mempunyai perancangan untuk membina anjung terbabit.
“MINTRED mempunyai perancangan untuk membina Anjung Usahawan Balingian yang mana proses pengambil alihan tanah tapak projek telah selesai dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GPS-PBB Balingian, Abdul Yakub Arbi pada Persidangan DUN Sarawak, di sini, hari ini.
Dr Ripin berkata, antara komponen perkhidmatan bagi Anjung Usahawan adalah Pusat pemprosesan; Kiosk jualan; Gerai makanan; Inkubator; dan Ruang aktiviti kemasyarakatan.
“Sekiranya ada cadangan penambahbaikan daripada Yang Berhormat, boleh berhubung dengan pihak MINTRED,” tambahnya.
Dr Ripin berkata, terdapat juga fasiliti lain bagi usahawan berdekatan Balingian iaitu Mukah Digital Innovation Hub dan Pusat Inkubator dan Bimbingan Usahawan (PIBU) di Mukah dibawah Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).
Katanya, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) pula belum ada rancangan membina Pusat
Keusahawanan Belia dan Inkubator Industri Kreatif di Balingian.
