GEDONG: Masjid Al-Kawthar Daerah Gedong akan bertukar wajah apabila kerja mengubahsuai dan naik taraf dalam masjid itu siap sepenuhnya sebelum akhir tahun ini.
Pengerusi Masjid Al-Kawthar Gedong, Julkepli Net berkata, kerja pengubahsuaian itu berharga kira-kira RM3 juta dan kerja pengubahsuaiannya bermula baru-baru ini dan dijangka siap September kelak.
Katannya, walaupun kerja-kerja penyelenggaraan sedang dijalankan kelak, namun ia tidak menjejaskan aktiviti ibadah dan program agama di dalam masjid ini.
Bagaimanapun, katanya, kerja-kerja penyelenggaraan ini mungkin menimbulkan beberapa kesulitan kepada jemaah, namun ia minimum.
“Saya dan semua ahli jawatankuasa Masjid Al-Kawthar dan masyarakat Islam di kawasan Gedong mengucapkan terima kasih kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.26 Gedong kerana menyokong dan meluluskan peruntukan untuk kos kerja pengubahsuaian dalaman masjid ini.
“Terima kasih juga kepada Yang Dato Sri Mohd Naroden Majais, Wakil Khas Premier Sarawak di Gedong kerana banyak membantu dan memberi nasihat dan cadangan kepada kami dalam usaha menaik taraf masjid ini,” katanya kepada Jiwa Bakti selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Kawthar Gedong hari ini.
Mengenai sambutan Aidilfitri di Gedong, Julkepli memberitahu, beliau bersyukur kerana sambutan Aidilfitri pada kali ini amat meriah dan kira-kira 1,000 jemaah telah memenuhi ruang masjid ini untuk bersama-sama menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Menurutnya, apa yang lebih menarik apabila budaya ‘Sadaq’ masih diteruskan di Gedong yang bertujuan memberi peluang seberapa ramai jemaah melakukan infaq untuk tabung masjid dan surau-surau di kawasan Gedong.
Katanya, aktiviti Sadaq ini dilakukan sekurang-kurang 12 orang penyadak yang mewakili Masjid Al-Kawthar Gedong dan 10 buah surau di kawasan Gedong.
Aktiviti Sadaq dilakukan sebelum solat sunat Aidilfitri bermula dengan sekumpulan penyadak akan lalu di barisan jemaah dengan mengutip sumbangan daripada jemaah untuk tabung masjid dan surau-suraui di Gedong.
Solat sunat Aidilfitri di Gedong diimamkan oleh Imam 1, Masjid Al-Kawthar Gedong, Alham Maulana Obeng.
