Para SUKMA: 150 kenderaan diguna

KUCHING: Sebanyak 150 kenderaan akan digunakan sebagai pengangkutan temasya Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di sini, mulai 22 hingga 28 September ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ini bagi memudahkan pergerakan sebanyak 15 kontinjen menyertai temasya itu yang melibatkan seramai 2,225 orang termasuk 1,290 atlet.

“Pengangkutan melibatkan 10 lori, 62 van, 45 bas, 15 kereta dan 18 SUV,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Fatimah berkata, Rapid KL merupakan Official Transport Partner bagi temasya.

Perkhidmatan pengangkutan bas disediakan mereka adalah percuma atau tanpa melibatkan sewaan.

“Kos penghantaran bas ditanggung oleh Kerajaan Sarawak iaitu sebanyak RM845,000 melibatkan penghantaran pergi balik di Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuching,” tambahnya.

Menurutnya, seramai 44 pegawai dan petugas Rapid Bus akan tiba seawal 13 September 2024 bagi menyesuaikan diri dengan laluan ke lokasi-lokasi pertandingan serta Dry Run berkaitan ini akan diadakan 17 September ini.

GAMBAR:UKAS