Pesta Tatau 2024 bakal tarik 80,000 pengunjung

TATAU: Pesta Tatau 2024 dijangka menarik seramai 80,000 pengunjung sepanjang berlangsung hingga 15 September ini.

Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Sri John Sikie Tayai berkata, lebih daripada 30 acara menarik pesta itu termasuk Regata Pesta Tatau 2024.

“Reggata Pesta Tatau 2024 mencatatkan 97 penyertaan dengan 100 bot kuasa yang bertanding, meningkat sebanyak 33 peratus berbanding tahun lalu, yang hanya melibatkan 75 bot kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Pesta Tatau 2024 di Taman Komuniti, Sungai Jatan, di sini, semalam.

John Sikie berkata, pesta terbabit turut menawarkan sebanyak 107 gerai termasuk hasil kraf tangan tempatan dan produk budaya masyarakat Tatau.

Katanya, ini dijangka menjana pendapatan sekitar RM4 hingga RM5 juta kepada ekonomi tempatan.