Pautan Digital Hospital tingkat kecekapan perkhidmatan kesihatan Sarawak

KUCHING: Rekod perubatan pesakit dari mana-mana hospital akan dapat diakses secara terus oleh hospital-hospital lain di Sarawak melalui Pautan Digital Hospital.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkhidmatan yang akan ditingkatkan lagi keupayaannya membabitkan kos RM10 juta membolehkan semua hospital dalam negeri ini saling berhubung melalui satu aplikasi digital.

“Ini bermakna jika seseorang pergi ke Hospital Umum Kuching (HUS), rekod mereka sudah ada, contohnya jika pesakit berasal dari Sibu, hospital Sibu boleh mengakses rekod mereka terus melalui aplikasi ini.

“Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian jumpa saya dan telah berbincang dengan Pengarah mengenai pautan digital ini. Saya tanya berapa jumlah diperlukan?

“Beliau (Dr Sim) kata RM10 juta untuk membangunkan aplikasi ini dan kita sudah meluluskan peruntukan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Sempena Mesyuarat Agung Tahunan Ke-64 Majlis Perubatan Malaysia (MMA) cawangan Sarawak di Kuching malam tadi.

Katanya, ini merupakan sebahagian daripada inisiatif digitalisasi perkhidmatan awam di Sarawak yang akan meningkatkan kecekapan serta kualiti perkhidmatan kesihatan, khususnya di kawasan pedalaman.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia Dato Lukanisman Awang Sauni, Presiden MMA Dr Azizan Aziz, Naib Canselor UNIMAS Prof Dr Ahmad Hata Rasit, Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr Veronica Lugah.