Parlimen Saratok akan jadi lokasi keempat program PKD Mobile

PUSA: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan menganjurkan program Pusat Komuniti Desa (PKD) Mobile di Parlimen Saratok.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata PKD Mobile diperkenalkan sejak 2023 memainkan peranan penting dalam menyampaikan perkhidmatan kerajaan kepada penduduk luar bandar yang masih terpinggir.

Katanya bagi tahun ini, KKDW merancang mengadakan enam siri PKD Mobile di seluruh negara dengan Parlimen Batang Lupar merupakan lokasi ketiga pelaksanaan program ini selepas Kuala Perlis dan Kota Samarahan.

“Lokasi seterusnya dijadual berlangsung di Parlimen Saratok dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Penutupan Program PKD Mobile Parlimen Batang Lupar di Dataran Tandang Sari, di sini, semalam.

Rubiah berkata, program ini memberi fokus kepada lima teras utama iaitu latihan kemahiran, pemerkasaan wanita, pembangunan aktiviti ekonomi, kesukarelawanan serta penyediaan perkhidmatan kerajaan secara langsung di lapangan.

Menurut beliau, sebanyak 191 PKD fizikal diwujudkan sejak 2012 namun masih belum mencukupi untuk memenuhi keperluan masyarakat di seluruh pelosok luar bandar.

Turut hadir, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor; Setiausaha Bahagian Pembangunan Ekonomi Komuniti KKDW, Noraina Masduki serta Residen Bahagian Betong, Richard Micheal Abunawas.