Pelbagai projek mega dilaksana di Betong

BETONG: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya melaksanakan pelbagai projek mega di Zon Betong sejak Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerajui Kerajaan Sarawak lapan tahun lalu.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, semua projek pembangunan itu sedang dilaksanakan dan akan siap mengikut jadual.

Katanya, projek pembangunan itu ialah pembinanan jambatan Batang Lupar No.1 sepanjang 4.8 kilometer (km) yang akan siap pada 31 Disember depan, jambatan Batang Lupar No.2 dijangka siap 8 Jun 2026.

Manakala, projek Jambatan Sungai Lingga akan siap pada 11 Februari tahun ini.

Menurutnya, projek mega lain yang bakal siap mengikut jadual ialah pembinaan jambatan Batang Saribas 1 (pakej 02) dijangka siap pada 18 Mei depan, Batang Saribas 2 (pakej A4) (16 Disember depan) dan Jambatan Sungai Krian, Saratok siap pada 23 April 2026.

Selain itu, katanya, Kerajaan GPS juga melaksanakan landasan terbang Bebuling yang dijangka siap pada 27 September 2025.

Jelasnya, landasan terbang ini akan membolehkan pesawat kecil mendarat dan berlepas di landasan yang pendek.

“Terima kasih kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari atas kejayaan Kerajaan GPS melaksanakan projek jambatan mega dan landasan terbang di Zon Betong.

“Ini adalah bukti Premier Sarawak telah melaksanakan apa yang dijanjikan. No political rhetoric – ini merupakan bukti nyata. Kita juga guna dana Sarawak.

“Dalam tempoh lapan tahun, Premier Sarawak telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan mengambil langkah yang berani seperti melaksanakan Strategi Pembangunan Pasca Covid – 19 dengan jayanya. ” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada Perasmian Mesyuarat Perwakilan Cawangan-cawangan PBB Zon Betong di sini.

Uggah yang juga Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB membidas golongan pembangkang yang mengambil sikap kurang yakin dengan rancangan pembangunan yang dibawa Kerajaan GPS.

“Dengan apa yang saya nyatakan di atas adalah bukti jelas bahawa Kerajaan GPS memang seriuas melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk faedah semua rakyat di negeri ini khususnya penduduk di Zon Betong,” katanya.