BETONG: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan menjadi benteng kepada Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memerangi tindak taduk daripada pihak lawan dalam apa keadaan sekalipun.
Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, parti itu menjadi benteng jika negeri ini dan rakyatnya mahu berjaya menjadi Sarawak sebagai sebuah wilayah maju menjelang tahun 2030.
“Jika mahu maju, syaratnya rakyat harus mempertahankan kestabilan dan perpaduan sedia terjalin dan menjaga perpaduan antara kaum dan agama,” katanya
Beliau yang juga Premier Sarawak, berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan Cawangan-Cawangan Parti PBB Zon Betong di sini, hari ini.
Sehubungan itu. Abang Johari mengajak rakyat supaya bekerjasama dengan satu tekad, satu tujuan dan satu perjuangan dalam membangunkan negeri ini yang telah diiktiraf sebagai wilayah yang berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia.
“Kita jaga Parti PBB dengan baik-baik dan ahli-ahli hendaklah bersedi menjadi benteng untuk mempertahankan parti daripada ancaman pihak lain,” tegas beliau.
Sambil menegaskan Abang Johari berkata, Parti PBB juga harus bersedia dalam usaha melahir tenaga kerja berkemahiran dengan teknologi terkini.
Oleh itu, katanya pucuk pimpinan Parti PBB dan GPS akan terus bekerja kuat untuk melaksanakan agenda pembangunan demi manfaat rakyat.
Rancangan membangunkan STOLport di Bebuling dan beberapa jambatan di sini merupakan sebahagian daripada rancangan jangka panjang kerajaan dalam memajukan kawasan tersebut.
Sarawak, tegas beliau, rancangan membangunkannya menggunakan dana kerajaan negeri sendiri.
“Antara kejayaan yang sudah parti ini dan Kerajaan GPS laksanakan sekarang ialah mewujud PETROS untuk mengurus sumber minyak dan gas sendiri, mengambilalih pelabuhan Bintulu dan memperoleh ekuiti terbanyak dalam Affin Bank,” katanya.
Dalam masa terdekat, katanya, kerajaan akan memiliki penerbangan sendiri apabila urusan mengambilalih MASwings selesai.
Menurut beliau, Sarawak adalah negeri pertama di Malaysia mampu melaksanakan pembinaan 16 jambatan secara sekali gus dengan menggunakan dana kerajaan sendiri.
Lebih 1,400 perwakilan dan pemerhati, belia serta veteran dari 14 cawangan zon tersebut menghadiri mesyuarat itu yang merupakan terakhir.
Mesyuarat perwakilan pertama diadakan di Zon Tengah (Sibu), diikuti Zon Utara (Miri) dan ketiga Zon Selatan di Kuching.
