Premier Sarawak terima anugerah Felo Kehormat MIP

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penganugerahan Felo Kehormat Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bertepatan kerana kepimpinannya yang cemerlang dalam membangunkan Sarawak.

Jelasnya, Premier Sarawak antara tokoh yang telah membuktikan bahawa kestabilan politik penting untuk membolehkan kepimpinan menumpukan kepada pembangunan negeri, meneroka idea dan dasar baharu dan tidak terikat dengan kepompong lama.

Katanya, Abang Johari gigih mencari jalan mengenai tenaga baharu, sering berbicara bagaimana untuk mencari peluang menembus lautan untuk mendapatkan pulangan kepada Sarawak.

“Ini boleh kita saksikan, sekiranya pimpinan itu mempunyai wawasan, pemahaman dan menggerakkan seluruh tenaga dan jentera kerajaan dengan kerjasama swasta dan universiti untuk melaksanakan cita-cita.

“Saya ingin menyatakan pemilihan Abang Johari tepat kerana dia menunjukkan contoh bagaimana untuk merancang negeri dengan baik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanatnya pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Perancangan MIP 2024 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur malam tadi.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata kekuatan Sarawak sebagai hab tenaga serantau akan menjadi pemangkin dalam kuasa tenaga ASEAN.

Menurutnya, beliau telah berbincang dengan Kerajaan Filipina untuk membolehkan kekuatan tenaga dari Sarawak dan Sabah menjurus ke Indonesia dan seterusnya ke Filipina.

“Ini memerlukan tumpuan dan kerjasama semua pihak untuk menjayakan,” jelas Anwar.

Selain itu, beliau turut menyampaikan Anugerah Presiden MIP kepada Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak (MUDeNR) untuk keunggulan dalam mentransformasi tadbir urus perancangan melalui inovasi digital Sarawak Electronic State Planning Authority System.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh dan Setiausaha Tetap MUDeNR Datu Abdullah Julaihi. – UKAS