KUCHING: Agenda pembangunan Sarawak tetap memfokuskan kepada kelestarian alam sekitar selain sektor lain untuk dimajukan bersama.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Datuk, penjagaan alam sekitar juga boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor pelancongan negeri ini.
“Menyentuh mengenai alam sekitar, ia sangat berkait rapat dengan pelancongan dan kita perlu melindungi alam sekitar kita.
“Sekarang, kita mempunyai lebih lima juta hektar kawasan persekitaran bandar, namun kita masih perlu mengambil kira pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan hutan, selain daripada taman negara dan kawasan pemuliharaan semula jadi kita.
“Ini untuk melindungi nilai hidupan liar kita yang ingin kita kongsikan dengan dunia,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Majlis Komuniti Sosio-Budaya Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) (ASCC) Ke-33 di sini, hari ini.
Tegasnya, Kerajaan Sarawak amat menekankan kelestarian alam sekitar sebagai sebahagian daripada agenda untuk memelihara warisan budaya.
Dalam usaha memastikan alam sekitar di Sarawak terus mampan, kerajaan negeri katanya menumpukan kepada pembangunan tenaga lestari yang boleh diperbaharui seperti hidrogen, solar dan hidro.
Usaha ini membolehkan Sarawak menjadi Grid Kuasa ASEAN seperti yang diiktiraf oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah katanya, Sarawak juga sedang bekerjasama dengan kerajaan Brunei Darussalam dan Singapura untuk membekalkan elektrik kepada dua negara berkenaan.
Terdahulu, Abang Johari mengadakan perjumpaan bersama Menteri-Menteri Majlis Komuniti Sosio-Budaya ASEAN.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn; Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee serta tetamu kenamaan yang lain.
