KUCHING: Sarawak bakal menyaksikan perubahan besar dalam landskap politik negeri apabila satu rang undang-undang berkaitan penambahan bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan dibentang dalam sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 7 Julai ini.
Rang Undang-Undang DUN (Komposisi Keanggotaan) 2025 itu akan dibawa oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Persidangan sehari itu akan diadakan di Kompleks DUN Sarawak, Petra Jaya.
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, ketiga-tiga bacaan rang undang-undang itu akan dilakukan pada hari yang sama tanpa sebarang usul persendirian dibentangkan dalam sesi berkenaan.
“Sidang khas itu dipanggil susulan notis yang dikeluarkan pada 20 Jun selaras Peraturan Mesyuarat 8(3) DUN yang membenarkan Speaker memanggil sidang awal atas keperluan awam, setelah dimaklumkan Premier Sarawak,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurut Asfia, kali terakhir Sarawak menambah kerusi DUN ialah pada 2014 apabila jumlah kerusi meningkat daripada 71 kepada 82. Penambahan sebelum itu berlaku pada 1995 dan 2005.
Katanya, kuasa untuk menambah bilangan ahli Dewan termaktub di bawah Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Negeri Sarawak dan hanya memerlukan majoriti mudah tidak seperti pindaan lain yang perlu mendapat sokongan dua pertiga ahli Dewan.
Asfia turut merujuk Perkara 113(2)(ii) Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan semakan kerusi dilakukan setiap lapan tahun, serta Perkara 117 yang menetapkan bahawa setiap ADUN mewakili satu kawasan.
Beliau menjelaskan cadangan penambahan kerusi dibuat susulan pertambahan penduduk dan keluasan kawasan pilihan raya, khususnya di pedalaman, yang menyukarkan wakil rakyat memberikan khidmat berkesan.
“Sebagai contoh, kawasan Hulu Rajang yang meliputi 34,080 kilometer persegi jauh lebih luas berbanding gabungan Perlis dan Melaka. Baram pula seluas 22,075 kilometer persegi manakala Bintulu mencatat jumlah pengundi tertinggi iaitu 113,599 orang,” katanya.
Asfia menyifatkan wakil rakyat di kawasan seperti ini sebagai “tawanan geografi” kerana menghadapi cabaran besar dari segi logistik dan akses untuk berhubung dengan pengundi di seluruh kawasan.
Namun, beliau menegaskan rang undang-undang ini hanya melibatkan penambahan jumlah kerusi DUN dan tidak menyentuh isu persempadanan kawasan pilihan raya yang masih kekal di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Diminta mengulas jumlah kerusi baharu yang dicadangkan, Asfia enggan mendedahkannya dan menyerahkan kepada Menteri yang akan membentangkan rang undang-undang itu dalam Dewan kelak.