Ambil iktibar daripada peristiwa hijrah

KOTA PADAWAN: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) menganjurkan sambutan Maal Hijrah 1447 dengan mengadakan ceramah agama bertajuk ‘Hijrah Membawa Hikmah’ di bangunan MPP di sini, semalam.

Majlis dikelolakan Jawatankuasa Pengurusan Surau Darussalam MPP itu diisi dengan ceramah yang disampaikan seorang ahli majlis tertinggi HIKMAH Sarawak, Ustaz Wan Lukmanhakim Wan Sajali.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi MPP, Kr Mahmud Dato Sri Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Surau Darussalam MPP, Rajis Abdullah serta beberapa ahli majlis MPP.

Dalam ceramahnya selama 90 minit itu, Wan Lukmanhakim yang juga Pengerusi Persatuan Kebajikan Sahabat Amal Negeri Sarawak mengajak kakitangan MPP khususnya yang beragama Islam mengambil iktibar daripada peristiwa hijrah yang dilakukan Nabi Muhammad SAW dari Kota Mekah ke Kota Madinah.

Katanya, penghijrahan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW serta para sahabat baginda, bukan perhijrahan atau berpindah tempat semata.

Sebaliknya, katanya ia satu bentuk keimanan dan keyakinan penuh kepada Allah SWT walaupun terpaksa berhadapan dengan cabaran, ancaman, ugutan daripada golongan yang benci kepada Islam ketika itu.

Namun, katanya, hasil daripada kesabaran dan ketabahan serta keyakinan baginda serta para sahabat kepada kuasa Allah SWT, akhirnya Rasulullah serta sahabat-sahabat berjaya sampai ke Kota Madinah dan mendapat sambutan penduduk daripada kota itu.

“Sehubungan ini, saya ingin mengajak anda semua supaya mengambil iktibar daripada kesabaran, ketabahan dan usaha yang dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW dalam hijrah itu untuk terjemahkan dalam urusan harian kita.

“Kita perlu bersedia mengubahkan sikap buruk, sikap malas dan kurang berilmu kepada sikap yang lebih baik, rajin, tingkatkan ilmu pengetahuan, lebih bertanggungjawab dalam institusi kekeluargaan dan beintergriti serta amanah dalam menjalan kerja di pejabat atau berurusan dengan masyarakat,” katanya.