Kemudahan utiliti lebih menyeluruh di Sarawak menjelang 2030

KUCHING: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) mahu kemudahan utiliti disediakan lebih menyeluruh di kawasan luar bandar menjelang tahun 2030.

“Hasrat kita ialah supaya kita dapat mencapai liputan yang lebih menyeluruh, dan kalau boleh, liputan penuh menjelang tahun 2030,” kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi.

Menurutnya, ini melalui pelaksanaan projek utiliti sama ada bekalan air, elektrik mahupun telekomunikasi di Sarawak yang seiring dengan perancangan pelan induk dan sistem grid negeri.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (ACP) dan Anugerah Inovasi Tahun 2024 di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, seramai 12 kakitangan MUT menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024, manakala 126 kakitangan lagi menerima Penghargaan Prestasi Cemerlang (PPC).

Turut hadir, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan Petros) Dato Ibrahim Baki, Setiausaha Tetap MUT Datu Jafri Lias, Timbalan Setiausaha Tetap MUT Syed Mohamad Fauzi Shahab.

GAMBAR: Ihsan FB Julaihi Narawi