KUCHING: Hospital Umum Sarawak (HUS) kini berdepan peningkatan kes membimbangkan membabitkan pesakit diabetes yang terpaksa dipotong kaki akibat komplikasi serius, dengan kes dilaporkan hampir setiap minggu.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, situasi ini mencerminkan betapa seriusnya penularan penyakit tidak berjangkit (NCD) khususnya diabetes dalam kalangan rakyat negeri ini.
“Setiap minggu, HUS akan menerima sekurang-kurangnya satu kes amputasi akibat komplikasi diabetes. Keadaan bermula dengan ulser yang tidak sembuh, kemudian merebak menjadi jangkitan serius hingga memaksa kaki dipotong bagi menyelamatkan nyawa pesakit,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Luka dan Melecur Antarabangsa Ke-5 2025 yang berlangsung di sini, hari ini.
Menurut Dr Sim, ia bukan sahaja memberi kesan fizikal, tetapi turut menjejaskan emosi, kemampuan bergerak dan kehidupan harian pesakit yang memerlukan penggunaan anggota palsu serta sokongan pemulihan jangka panjang.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan bahawa Sarawak kini berada di hadapan dalam bidang penyelidikan klinikal peringkat nasional hasil sokongan berterusan kerajaan negeri terhadap pembangunan kesihatan dan inovasi perubatan.