Enam kontinjen sertai Sukan Borneo 2025 September ini

KUCHING: Sebanyak enam kontinjen akan berentap pada temasya Sukan Borneo 2025 di Kompleks Sukan Petra Jaya, di sini dari 24 hingga 28 September ini.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kontinjen terbabit ialah Sarawak, Sabah, Labuan, Brunei Darussalam, Kalimantan Barat dan Kalimantan Timur.

Katanya, sebanyak lapan acara sukan akan dipertandingkan iaitu lima sukan teras, iaitu badminton, lawn bowl, memanah, olahraga dan renang.

“Dua sukan tradisional yang turut dipertandingkan ialah menyumpit dan tarik tali, manakala satu acara iaitu golf VIP tidak melibatkan sebarang pingat,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat penyelarasan sukan itu, di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, pendaftaran atlet kontinjen yang mengambil bahagian akan dibuka bermula 14 Julai dan ditutup pada 29 Ogos 2025.