Jelajah lindungi hak pekerja

LAWAS: Siri jelajah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak yang bermula di Kuching, 30 Jun lalu berakhir di sini hari ini.

Program Banteras Buruh Paksa, Lindungi Pekerja sempena Labour Go Rural Area Program 6.0 itu berjaya menyemarakkan kesedaran majikan tentang tanggungjawab mereka dan hak pekerja itu sendiri.

Siri jelajah itu merupakan pendekatan turun padang JTK Sarawak untuk mendekati golongan sasar agar segala maklumat berhubung isu buruh dapat diperjelaskan.

Pengarah JTK Sarawak, Awang Raduan Awang Omar melahirkan rasa syukur atas kejayaan program berkenaan yang mampu mengakses kawasan luar bandar untuk berkongsi berbagai maklumat berkaitan isu buruh.

“Sejumlah 729 kes buruh telah diterima dan dikendalikan oleh pejabat-pejabat tenaga kerja di seluruh Sarawak. Sepanjang tempoh Januari hingga Mei 2025, JTK Sarawak menawarkan 563 kompaun dengan nilai RM876,000.000, manakala jumlah pampasan pekerja yang direkodkan dalam tempoh sama adalah RM31,475,212.52.

“Program ini untuk memberi kesedaran kepada orang awam berkenaan isu buruh paksa dan penunjuk yang berkaitan,” katanya.