Sidang Kemuncak Integriti Antarabangsa Borneo bakal himpunkan 800 peserta

KUCHING: Sarawak yang menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Integriti Antarabangsa Borneo (BIIS) 2025 akan menghimpun lebih 800 peserta dari dalam dan luar negara.

Sidang tersebut akan berlangsung dari 29 hingga 30 Julai ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti & Ombudsman), Datuk Dr. Juanda Jaya berkata, sidang kemuncak itu dianjurkan oleh Kerajaan Sarawak melalui Unit Integriti dan Ombudsman dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) Cawangan Sarawak dan Konsortium Universitas Borneo (KUUB).

Sidang itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai integriti dan tadbir urus baik, membina modal insan berintegriti selaras dengan keperluan pembangunan Sarawak ke arah 2030, serta memupuk kepimpinan etika dalam kalangan generasi muda, katanya sidang media di sini hari ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual merasmikan sidang kemuncak yang bertemakan ‘Driving Innovation, Transparency and Ethical Leadership for a Sustainable Future’ itu pada 29 Julai, katanya.

“Sebanyak 31 universiti dan kolej dari empat negara dijemput, manakala pelajar dari enam sekolah menengah sekitar Kuching, Samarahan dan Serian turut terlibat sebagai usaha menanam nilai integriti dari peringkat awal,” jelasnya.

Sidang itu turut diselitkan dengan pameran institusi pendidikan dari rantau ASEAN termasuk CENTEXS, Sarawak Skills, ICATS University College, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) Samarahan dan Curtin University.

Satu Memorandum Persefahaman (MoU), katanya, juga akan dimeterai antara KUUB dengan Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak bagi memperkukuh kerjasama dalam membudayakan nilai integriti di institusi pengajian tinggi.