KUCHING: Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) membincangkan perkembangan projek pembinaan Wisma Melayu di Wisma Sumber Alam, di sini, hari ini.
Wisma berkenaan bakal menjadi mercu tanda penting bagi warisan budaya Melayu di Sarawak.
Projek itu dibincangkan pada Mesyuarat Ahli Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS pertama untuk tahun 2025 dipengerusikan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS.
Antara perkara utama lain dibincangkan ialah urusan pentadbiran AKYBMS dan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah sebagai penghormatan kepada Almarhumah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Turut hadir Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi yang juga ahli baharu Ahli Lembaga Pemegang AKYBMS.
Selain itu, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta Ahli Lembaga Pemegang AKYBMS, Datuk Wahab Abdul Aziz dan Datu Dr. Sanib Said.