TEGAS perkenalkan dua program utama, tarik pelajar minat STEM

KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) memperkenalkan dua program utama tahun ini iaitu Sarawak Rocketeer CAN-SAT Challenge (SRC) berkolaborasi dengan UiTM-MTC High Energy Material Research Laboratory (H-EMREL), CENTEXS Sarawak Aerospace Academy dan Sarawak Skills bagi menghasilkan roket sebenar.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, program ini antara lain merupakan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman sebagai pencetus minat dalam kalangan pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi dan Kejuruteraan dan Matematik (STEM) khususnya dalam bidang tekonologi roket dan satelit.

“Satu lagi ialah Program Sarawak Blockchain dan Crypto yang merupakan program pertama berlangsung di sini selama dua hari.

“Program ini bagi mereka yang ingin tahu tentang Web3, Cryptocurrency atau cara Block chain berfungsi serta pertukaran Crypto dan mempelajari bagaimana ia boleh membentuk kerjaya.
“Program ini merupakan langkah berani dan strategik TEGAS dalam merangka masa depan Pendidikan STEM yang lebih inklusif, dinamik dan berpaksikan amalan dunia sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan pada perasmian Sarawak Career And Training (SCat) Fair Ke11 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Majlis dirasmikan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Dato Sri Roland Sagah Wee mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Untuk rekod, edisi SCat Fair tahun lalu diadakan di dua lokasi di di HIKMAH Exchange Kuching mencatat kehadiran seramai 20,240 pengunjung.

Manakala, di Sibu pula seramai 8,828 pengunjung menjadikan keseluruhan seramai 29,068 pengunjung tahun lalu.

Len yang juga Pengerusi TEGAS berkata, pada tahun ini program tersebut diadakan di Kuching sahaja berikutan sambutan yang menggalakkan dan menyasarkan lebih ramai pengunjung, berbanding tahun lalu serta kelainan dan penambahan program kerjaya yang lebih meluas dan bermakna.