Sarawak laksanakan kajian tenaga kerja masa hadapan

KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang melaksanakan Kajian Dasar Pembangunan Bakat Sarawak untuk menjana tenaga kerja pada masa hadapan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kajian ini di bawah kendalian Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD).

“Matlamatnya jelas untuk menjana tenaga kerja yang berkemahiran teknikal, tangkas, inovatif dan bersedia untuk masa depan yang akan memacu transformasi ekonomi Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Sarawak Career and Training (SCaT) Fair Ke-11 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Premier Sarawak diwakili Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee

SCAT Fair menghimpunkan peluang kerjaya, akses kepada teknologi masa hadapan serta jaringan industri itu dianjur MEITD bersama Tabung EkonomiGagasan Anak Sarawak (TEGAS), dengan sokongan PertubuhanKeselamatan Sosial (PERKESO) dan Petroleum Sarawak Berhad
(PETROS).

Abang Johari berkata, kajian ini untuk menangani setiap bahagian saluran bakat dari pendidikan awal kepada pembelajaran sepanjang hayat, daripada latihan dan peningkatan kemahiran kepada penjajaran industri dan perancangan tenaga kerja.

“Pekerjaan dan industri esok akan menuntut tenaga kerja yang boleh menyesuaikan diri, kreatif, dan mahir dalam memanfaatkan teknologi terkini,” tambahnya.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar yang juga Pengerusi TEGAS, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak – UKAS) yang juga Setiausaha TEGAS, Datuk Abdullah Saidol dan tetamu kenamaan lain.