Ibu tunggal bantu pembangunan masyarakat

DARO: Peranan ibu tunggal dalam pembangunan masyarakat amat penting khususnya dalam menggalakkan penyertaan aktif mereka dalam program komuniti.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi memuji usaha dilaksanakan Persatuan Ibu Tunggal Sarawak (PITSA) Cawangan Daro dalam memperkukuh institusi kekeluargaan serta menjadi medium mempererat silaturahim dalam komuniti.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Sukaneka Keluarga anjuran PITSA Cawangan Daro di Dewan Terbuka Kampung Masjid, di sini, semalam.

Sebagai tanda sokongan, Ahmad Johnie mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada PITSA Cawangan Daro bagi membantu melaksanakan lebih banyak program kebajikan dan kemasyarakatan yang bermanfaat kepada ahli persatuan.

Setakat ini, PITSA Cawangan Daro mempunyai seramai 100 ahli berdaftar, terdiri daripada ibu-ibu tunggal dari pelbagai kampung di sekitar daerah Daro.

Jumlah ini dijangka terus meningkat seiring dengan peranan aktif persatuan dalam membantu memperkasa wanita di peringkat akar umbi.