Sekolah menengah Parlimen Batang Lupar terima televisyen pintar

BELADIN: Empat sekolah menengah menerima sumbangan keseluruhan sebanyak 116 unit televisyen pintar di kawasan Parlimen Batang Lupar.

Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata sebanyak 35 unit televisyen pintar bersaiz 65 inci itu disumbangkan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beladin, 35 unit SMK Pusa, 20 (SMK Lingga) dan 26 (SMK Sebuyau).

“Sumbangan ini akan dapat membantu kemenjadian murid dan meningkatkan kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam kelas seterusnya menyumbang kepada keputusan yang baik di empat sekolah menengah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis penyerahan sumbangan itu pada Program Sarana Ibu Bapa dan Penyerahan Peranti Digital di SMK Beladin di sini.

Mohamad Shafizan turut menekankan kerjasama semua pihak untuk menangani isu ketidakhadiran yang kritikal di SMK Beladin.

“Saya yakin pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti setempat dapat mencari jalan penyelesaian terhadap isu ini,” ujarnya.

Pada majlis itu, Mohamad Shafizan turut menyampaikan insentif kepada pelajar yang mendapat A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.