Penggunaan herba tradisional kaum Kelabit dibukukan

BINTULU: Kerajaan Sarawak menyokong usaha universiti melakukan penyelidikan berkaitan pengunaan herba tradisional kaum etnik negeri ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, antaranya penggunaan herba tradisional oleh kaum Kelabit yang telah diterbitkan dalam bentuk buku.

“Universitilah yang biasanya mampu melaksanakan kajian sebegini, dan kerajaan negeri akan terus menyokong,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains, Sains Sosial dan Kemanusiaan Kali Ke-4 (ICOSSH 2025) di sini, hari ini.

Pada majlis sama, Abdul Karim turut melancarkan buku bertajuk ‘Tumbuh – Tumbuhan Ubatan Etnik Kelabit Di Bario Sarawak’, hasil bersama Prof. Madya Dr. Mohamad Maulana Magiman, Rohaidah Haron, Fauziah Abu Bakar dan Razak Ab Karim dari Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS).