Perkukuh pembudayaan Al-Quran, 10,000 mushaf diedar ke seluruh Sarawak

KUCHING: Sebanyak 10,000 naskhah mushaf wakaf diagihkan ke seluruh Sarawak menerusi Majlis Agihan Mushaf Wakaf Bahagian Kuching sebagai inisiatif membudayakan dan mengembangkan ilmu Al-Quran.

Majlis keberkatan ini diadakan di Dewan Majma Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, di sini hari ini, di bawah seliaan Majlis Islam Sarawak (MIS) yang dilaksanakan oleh Pusat Pengembangan Al-Quran Darul Hana (DHQc-MIS) sempena Ramadan, bulan diturunkan Al-Quran.

Majlis disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.

Daripada jumlah keseluruhan itu, agihan khas bagi Bahagian Kuching disempurnakan dalam majlis berkenaan, manakala selebihnya akan diedarkan secara berperingkat ke bahagian dan daerah lain di seluruh negeri.

Dalam ucapannya, Abdul Rahman menegaskan bahawa pengagihan 10,000 mushaf wakaf ini bukan sekadar inisiatif kebajikan, sebaliknya sebahagian daripada pelan pembangunan Al-Quran yang dirangka secara strategik dan berjangka panjang di Sarawak.

Menurut beliau, selaras dengan visi DHQc-MIS untuk menjadi pusat pembudayaan dan pengembangan ilmu Al-Quran, institusi itu berperanan mendidik serta membimbing masyarakat Islam Sarawak ke arah pembentukan ummah yang sejahtera dan progresif berteraskan Al-Quran.

“Usaha berstruktur ini penting bagi memastikan pembudayaan Al-Quran tidak bersifat bermusim, sebaliknya menjadi teras pembangunan insan dan masyarakat secara menyeluruh di negeri ini.

“Inisiatif tersebut direalisasikan melalui kerjasama strategik pelbagai pihak termasuk Yayasan Tun Rahah selaku pewakaf utama, Percetakan Nasional Malaysia Berhad, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta agensi-agensi berkaitan.

“Penganjuran program ini bertujuan memperluas capaian mushaf Al-Quran kepada masyarakat Islam, menggalakkan budaya membaca dan mentadabbur Al-Quran khususnya sepanjang Ramadan, di samping menyemai kesedaran wakaf sebagai instrumen pembangunan ummah,” katanya.

Jelasnya, Majlis Agihan Mushaf Wakaf ini bukan sekadar simbolik penyerahan naskhah, sebaliknya menjadi manifestasi komitmen berterusan dalam memperkukuh ekosistem pembangunan Al-Quran di Sarawak, sejajar aspirasi negeri untuk memartabatkan Al-Quran sebagai asas pembinaan masyarakat dan kemajuan ummah.

Turut hadir memeriahkan majlis Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha serta Mufti Sarawak, Datu Khalidi Ibrahim.