TYT, Premier Sarawak hadiri Majlis Sungkei Perdana 2026

KUCHING: Barisan pemimpin tertinggi negeri turut sama mengimarahkan bulan Ramadan dengan menyertai Majlis Sungkei Perdana 2026 yang diadakan di Surau Astana Negeri Sarawak, Petra Jaya, malam tadi.

Majlis dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Turut hadir pada majlis tersebut, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, barisan Timbalan Menteri Sarawak, Ketua-ketua jabatan serta dif kenamaan lain.

Premier Sarawak terlebih dahulu tiba sekitar jam 6.40 petang hadir bersama anakanda, Dayang Norjihan.

Ia disusuli dengan ketibaan Yang di-Pertua Negeri Sarawak bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi sekitar jam 6.50 petang.

Sebaik tiba, kedua-dua tetamu kehormat bersama tetamu lain berbuka puasa disusuli dengan menunaikan solat fardhu Maghrib bersama dif kenamaan Islam yang lain.

Usai menjamu juadah, dif-dif kenamaan menunaikan solat Isyak dan diteruskan dengan solat sunat Tarawih sebelum majlis diakhiri dengan jamuan moreh.