KUCHING: PETROSNiaga Sdn Bhd memberi jaminan bahawa bekalan gas petroleum cecair (LPG) di Sarawak akan terus stabil meskipun operasi loji pembotolan LPG PUSAKA Integrated Resources Sdn Bhd (PIRSB) di Bintulu terhenti akibat tanah runtuh pada 29 Januari lalu.
Dalam kenyataan media di sini, PETROSNiaga memaklumkan telah bekerjasama dengan PIRSB untuk menubuhkan loji pembotolan sementara di Bintulu yang mampu menghasilkan 50 peratus kapasiti asal loji sedia ada, dalam usaha mengatasi gangguan bekalan di Wilayah Utara Sarawak.
Jelasnya, kemudahan ini dijangka beroperasi pada awal April, sementara kerja pemulihan loji asal dijangka mengambil masa sehingga enam bulan.
Sebagai langkah tambahan, loji pembotolan di Senari Independent Oil Terminal (IOT) Kuching telah meningkatkan pengeluaran harian daripada 13,000 silinder kepada 26,000 silinder, mencukupi untuk memenuhi keperluan harian Sarawak sebanyak 25,000 silinder.
Selain itu, kapasiti simpanan juga dipertingkatkan dengan pembukaan depot tambahan di Wilayah Utara.
Bagi memastikan penghantaran lebih pantas dan konsisten ke kawasan permintaan tinggi seperti Miri, Bintulu, dan Sibu, bilangan pengangkut serta silinder LPG telah ditambah.
Dalam pada itu, PETROSNiaga turut mendapatkan bekalan tambahan dari Sepanggar Bay, Sabah dan menjangkakan keadaan akan kembali normal dalam tempoh seminggu.
Untuk rekod, harga LPG bersubsidi untuk kegunaan rumah kekal pada RM26.60 untuk pengedar dan peniaga yang sah.
Bagi pengguna yang menghadapi kenaikan harga tidak sah boleh melaporkan kepada PETROSNiaga di 1300-88-2122 atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di 1-800-886-800 atau melalui WhatsApp di 019-8488000.
PETROSNiaga juga menasihatkan pengguna agar tidak melakukan pembelian panik dan hanya mendapatkan LPG mengikut keperluan biasa.
Selain itu, usaha berterusan sedang dilakukan untuk memastikan bekalan LPG yang stabil dan mampu milik bagi semua isi rumah serta perniagaan di Sarawak.
